Dagangan penghujung minggu kian rancak menyaksikan berlakunya pergerakan ketara oleh US dolar ketika tumpuan terarah kepada data ekonomi yang diterbitkan.
US dolar lebih ketara melemah pada dagangan sesi Eropah semalam, namun membuat pusingan ‘U’ pada sesi berikutnya apabila berjaya paparkan pengukuhan semula.
Data PMI pembuatan dan perkhidmatan Amerika Syarikat (AS) untuk bulan Februari catat bacaan yang baik. Walaupun bacaan sektor perkhidmatan sedikit menurun, namun angka masih berada di atas paras 50.0 mata.
Bacaan yang positif kekal memberi gambaran ekonomi AS berdaya tahan ketika dasar yang ketat diteruskan dengan mengekalkan kadar faedah yang tinggi.
Ini juga terus menyokong jangkaan untuk Federal Reserve (Fed) menangguhkan seketika perancangan untuk menurunkan kadar faedah dalam tempoh terdekat ini.
Data yang sama untuk ekonomi Eropah serta UK yang diterbitkan pada sesi sebelumnya dilihat agak bercampur-campur, namun kedua-dua mata wang Euro dan Pound berjaya melonjak ketika US dolar sedang melemah.
Kebanyakan mata wang utama dilihat berjaya menyerlah pada dagangan sesi Eropah semalam namun situasi hanya sementara apabila kembali kecundang semula di sesi berikutnya.
Dengan ketidaktentuan menuju penghujung minggu ini, pelabur akan tambah berwaspada untuk mengurangkan risiko kerugian pada dagangan masing-masing.
Kekurangan data ekonomi tumpuan pada Jumaat ini juga turut mengundang risiko pergerakan volatile harga atau harga sekadar mendatar menutup dagangan minggu ini.