US dolar kecundang parah pada penutupan dagangan minggu lalu dengan kehadiran data-data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang memaparkan angka bacaan merosot.
Menjadi tumpuan pada sesi New York Jumaat lalu, data tinjauan ISM bagi sektor pembuatan di AS pada Februari adalah lebih rendah daripada ramalan, iaitu 47.8 mata berbanding ramalan 49.5.
Penurunan angka menunjukkan sektor tersebut alami penguncupan dan ini mencadangkan kecenderungan untuk bank pusat, Federal Reserve (Fed) untuk bersedia melaksanakan pelonggaran dasar monetari.
Spekulasi berkenaan penetapan dasar monetari Fed, khususnya berkenaan waktu untuk penurunan kadar faedah bermula kekal menjadi pemacu pergerakan pasaran.
Justeru, beberapa lagi data penting yang akan hadir pada minggu ini akan diberikan tumpuan untuk menilai sebarang petunjuk baru yang lebih jelas.
Di penghujung minggu, laporan data pekerjaan NFP AS akan diperhatikan dan dijangka mampu memberi impak besar pada penutup dagangan minggu ini.
Pelabur juga akan memerhatikan beberapa keputusan mesyuarat polisi bank pusat termasuk Kanada dan Eropah. Namun, masing-masing dijangka akan masih mengekalkan kadar faedah tidak berubah.
Mata wang utama lain dalam pasaran pada minggu ini masih memiliki ruang untuk teruskan pemulihan ketika prestasi US dolar yang kekal suram.
Impak penyusutan nilai US dolar pada penghujung minggu lalu turut dilihat pada pasaran komoditi.
Harga minyak mentah dilaporkan melonjak tinggi dengan kedua-dua penanda aras WTI dan Brent masing-masing capai paras tertinggi sejak November tahun lalu.
Turut memberi kejutan dan keterujaan kepada para pelabur emas apabila telah menyaksikan harga logam kuning itu naik ‘menggila’ hingga tembusi paras ketinggian $2,080.