Menjelang keputusan mesyuarat FOMC pada minggu ini, US dolar telah memaparkan pengukuhan di pembukaan awal minggu semalam ketika jangkaan terhadap dasar monetari Federal Reserve (Fed) masih cenderung untuk menangguhkan penurunan kadar faedah.
Fed diramalkan untuk mengekalkan kadar faedah tidak berubah untuk mesyuarat pertama tahun 2024 ini dan ucapan susulan oleh Pengerusi Jerome Powell akan menjadi kunci penting yang akan menjawab persoalan yang berlegar-legar dalam pasaran kebelakangan ini.
Petunjuk dari Powell juga akan menjadi pemacu arah pergerakan pasaran selanjutnya sama ada akan memihak kepada dominasi US dolar ataupun sebaliknya.
Walaupun US dolar pamerkan pengukuhan awal, namun mata wang utama lain dalam pasaran dilihat masih lagi didagangkan bercampur ketika situasi ketidaktentuan terus menyelubungi pasaran.
Di penutup sesi New York, US dolar kembali bergerak suram memudarkan momentum positif pada awalnya.
Indeks dolar (DXY) susut ke paras 103.400 dari paras ketinggain 103.800 yang telah dicapai sementara hasil perbendaharaan 10-tahun Amerika Syarikat (AS) pula jatuh cecah 4.06%, terendah sejak Rabu lalu.
Pound akan menantikan keputusan mesyuarat polisi bank pusat England (BOE) pada Khamis yang dijangka akan turut mengekalkan kadar faedah seperti yang dilakukan oleh European Central Bank (ECB) minggu lepas.
Dolar Aussie bakal dipengaruhi terbitan data inflasi Rabu sementara dolar Kanada akan dipacu oleh angka pertumbuhan ekonomi pada hari yang sama, di sesi New York.
Pastinya US dolar paling bergelora sepanjang minggu ini bermula dengan terbitan data keyakinan pengguna AS dan pekerjaan JOLTS pada malam ini, data pekerjaan ADP pada Rabu, mesyuarat FOMC di awal pagi Khamis dan pada Jumaat pula laporan data pekerjaan NFP akan menjadi tumpuan.
Perkembangan pasaran komoditi, harga minyak mentah catat sedikit penurunan semalam namun masih berada pada trend menaik dipengaruhi oleh konflik di Timur Tengah yang semakin tegang.
Sementara dagangan emas pula masih bercelaru pada pembukaan awal minggu ini menyaksikan pergerakan turun naik harga masih di sekitar zon $2,030.