Tiada perubahan pada jangkaan terhadap dasar monetari Federal Reserve (Fed) yang menyaksikan dorongan untuk US dolar mengekalkan pengukuhannya menuju ke paras tertinggi 11 minggu.
Pelabur masih mengekalkan jangkaan untuk Fed melaksanakan pemotongan kadar faedah yang lebih kecil pada mesyuarat November, kurang agresif daripada yang dilakukan pada September lalu.
Pergerakan ketara pada dagangan Rabu semalam adalah mata wang Pound yang dipengaruhi oleh terbitan data inflasi UK di awal sesi Eropah.
Selepas mendatar sejak minggu lepas, nilai Pound menjunam ke paras terendah 2 bulan semalam susulan bacaan inflasi terbaru UK untuk September turun lebih rendah kepada 1.7% mengatasi ramalan 1.9%.
Situasi ini dilihat akan menambahkan tekanan kepada bank pusat England (BOE) untuk berada pada fasa pelonggaran dasar monetari untuk kestabilan ekonomi semasa.
Smeentara itu, mata wang Euro juga turut susut mencecah paras terendah 2 bulan ketika tekanan terus meninggi menjelang keputusan mesyuarat bank pusat Eropah (ECB) yang dijangka menurunkan kadar faedah pada hari ini.
Tumpuan pelabur pada sesi Asia pagi Khamis ini terarah kepada laporan data pekerjaan Australia yang menyaksikan reaksi positif dolar Aussie yang paparkan lonjakan kukuh.
Ini berikutan bacaan yang memberangsangkan pada komponen laporan apabila pertambahan pekerjaan di Australia pada September sebanyak 64,100 adalah tertinggi sejak Februari 2024.
Sementara, kadar pengangguran yang dijangka kekal di paras 4.2% pula mencatatkan penurunan kepada 4.1%.
Tumpuan pada berikutnya adalah pada mesyuarat ECB pada jam 8.15 malam ini disusuli data-data ekonomi Amerika Syarikat termasuk jualan runcit dan tuntutan faedah pengangguran.