Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran bahawa hutang awam global bakal mencecah hampir 100% daripada KDNK global menjelang akhir dekad ini, dipacu oleh tarif baharu Amerika Syarikat, kelembapan pertumbuhan ekonomi, serta ketidaktentuan dasar global. Berdasarkan laporan Fiscal Monitor, hutang dijangka meningkat kepada 95.1% pada tahun 2025 dan melonjak ke 99.6% menjelang 2030 hampir menyamai paras tertinggi semasa pandemik COVID-19.
Tekanan kewangan ini berpunca daripada beberapa faktor utama seperti peningkatan perbelanjaan pertahanan, sokongan sosial, dan kos perkhidmatan hutang yang terus melonjak. Defisit fiskal dijangka kekal tinggi pada purata 5.1% daripada KDNK tahun depan, manakala kesan tarif dan tindakan balas dijangka memburukkan lagi prospek fiskal serta pertumbuhan ekonomi global.
Dalam senario terburuk, hutang boleh melonjak melepasi 117% daripada KDNK global menjelang 2027, peratusan tertinggi sejak Perang Dunia Kedua. IMF memberi amaran bahawa kebanyakan pertumbuhan hutang tertumpu di ekonomi besar, walaupun hanya satu pertiga daripada negara anggota IMF mengalami kadar pertumbuhan hutang yang lebih pantas berbanding sebelum pandemik.
IMF turut menyeru agar negara-negara memberi keutamaan kepada pengurangan hutang secara beransur dan kredibel, dengan melaksanakan pelan konsolidasi fiskal serta memastikan penstabil automatik seperti bantuan pengangguran berfungsi dengan cekap. Sebarang perbelanjaan baharu juga perlu diseimbangkan dengan pengurangan lain atau penjanaan hasil tambahan.