Penasihat White House, Peter Navarro berkata Presiden Donald Trump tidak lagi merancang untuk menaikkan tarif ke atas import keluli dan aluminium Kanada kepada 50% pada hari Rabu.
Pembatalan itu itu berlaku enam jam selepas Trump mengumumkan rancangannya untuk menggandakan duti import ke atas logam Kanada sebagai tindak balas kepada keputusan Ontario yang mengenakan cukai 25% ke atas eksport elektrik ke AS.
Ancaman Ontario untuk menambah surcaj ke atas eksport elektrik ke Michigan, New York dan Minnesota datang sebagai tindakan balas terhadap tarif 25% yang dikenakan Trump ke atas import dari Kanada.
Selain itu, Perdana Menteri Ontario Doug Ford berkata pada Selasa bahawa beliau menghentikan surcaj itu selepas perbincangan dengan Setiausaha Perdagangan AS, Howard Lutnick.
Beliau sebelum ini berjanji akan meneruskan tindak balas terhadap AS dan memberi amaran bahawa jika berlaku kemelesetan, individu yang harus dipersalahkan adalah Donald Trump.
Pergerakan itu menandakan perubahan terkini dalam perang perdagangan yang semakin memuncak dan tidak dapat diramalkan antara AS dan Kanada.
Trump mengenakan tarif ke atas Kanada dan Mexico pada awal Februari, sebelum menangguhkannya selama sebulan dan kemudian mengenakan semula tarif serta melambatkan sebahagiannya lagi. – CNBC