Memasuki episod kedua balas-membalas tarif antara Amerika Syarikat (AS) dan China, dan bahangnya terhadap pasaran global semakin terasa.
Para pelabur kini memerhati setiap saat perkembangan dua kuasa ekonomi terbesar dunia ini untuk menanti siapa yang akan tumbang dahulu.
Terbaharu, selepas AS menaikkan tarif sebanyak 50%, China pula membalas dengan kadar yang sama semalam.
Jumlah keseluruhan tarif yang dikenakan China ke atas barangan AS kini mencecah 84% bermula 10 April.
Itu hari ini… esok? Mungkin naik. Mungkin turun. Siapa tahu?
Eskalasi tarif ‘balas membalas’ ini boleh menggugat hampir $600 bilion perdagangan antara dua negara tersebut.
Kesan ketara mula dirasai dengan Wall Street tergelincir, dengan indeks S&P 500 kini memasuki zon pasaran menurun (bear market) selepas merosot hampir 20% dari paras tertinggi.
Pasaran Asia pun tak terkecuali. Indeks Kospi Korea dan indeks Shanghai China turut mencatat kejatuhan mendadak.
China, yang dahulunya lebih terbuka untuk berunding, kini memilih jalan keras.
Walaupun Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, menyatakan tindakan China ini akan “memakan diri”, Presiden Xi Jinping masih belum beri sebarang petanda untuk mengalah.
Perang tarif semakin panas. Rundingan beku. Ekonomi dunia yang menanggung derita.