Dalam suasana pasaran yang tidak menentu menuju dagangan penghujung minggu ini, US dolar pada Khamis semalam dilihat menghadapi tekanan jualan setelah gagal mengekalkan corak positif sebelumnya.
Dari pembukaan awal minggu sehingga Rabu, US dolar telah paparkan pengukuhan nilai secara beransur-ansur untuk memulih dari kejatuhan pada minggu lalu.
Namun, rentak gagal diteruskan apabila raja mata wang itu kembali melemah dan menghilangkan keuntungan yang diraih beberapa hari itu.
Data tuntutan faedah pengangguran Amerika Syarikat (AS) diterbitkan meningkat pada sesi New York semalam sementara tumpuan pelabur akan beralih pula kepada data PMI pembuatan dan perkhidmatan hari ini (Jumaat).
Penganalisis menilai situasi penyusutan US dolar berkemungkinan sementara berikutan isu tarif masih lagi menjadi faktor kebimbangan untuk pasaran global.
Tambahan, Presiden Donald Trump semakin rancak mengumumkan lagi tarif baharu ke atas import kenderaan, ubat-ubatan dan cip selepas minggu lalu mengumumkan tarif ke atas keluli dan aluminium.
Trump juga lantang mengkritik Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berkenaan perang dengan Rusia ketika wakil delegasi AS dan Rusia dihantar untuk perbincangan menamatkan perang itu di Arab Saudi minggu ini.
Mata wang utama lain dalam pasaran pamerkan pemulihan ketika tekanan US dolar mula mereda.
Yen antara yang cemerlang dengan peningkatan nilai ke paras tertinggi terbaru 2 bulan.
Pada carta-carta utama berbanding US dolar, Euro kembali hampiri paras puncak minggu lalu, Pound lonjak ke paras tertinggi terbaru 9 minggu sementara dolar Aussie pula tertinggi 10 minggu.
Pelabur akan kekal berwaspada dengan situasi pasaran yang tidak menentu di samping menjangkakan aktiviti pengambil untung pada dagangan di penutup minggu.