Walaupun data-data ekonomi Amerika Syarikat (AS) pada Rabu diterbitkan dengan bacaan yang merosot, namun US dolar berjaya pamerkan prestasi cemerlang pada pembukaan dagangan Mei semalam.
Petunjuk kurang baik buat sektor buruh di AS apabila pekerjaan swasta pada laporan ADP menunjukkan pertambahan sangat lemah bagi bulan April, iaitu 62,000 sahaja berbanding ramalan 114,000.
Ini menyusuli laporan JOLTS pada Selasa lalu yang hadir dengan angka perlahan.
Menambahkan lagi kebimbangan, laporan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk bacaan awal adalah -0.3% berbanding jangkaan 0.2%, menunjukkan penguncupan pertumbuhan ekonomi AS untuk suku pertama 2025.
Ini membuktikan ramalan ramai pihak bahawa tarif yang dilaksanakan oleh Presiden Donald Trump sememangnya ‘melukakan’ ekonomi negaranya sendiri.
Meneliti pula komponen inflasi yang menjadi indikator kegemaran Federal Reserve (Fed), indeks harga PCE yang mengukur perbelanjaan penggunaan peribadi AS pada Mac catat 0.0% berbanding ramalan lemah 0.1%.
Keseluruhan bacaan data utama AS tidak menunjukkan petanda yang baik buat ekonomi terbesar dunia itu dan pelabur kekal berwaspada di penghujung minggu menantikan laporan pekerjaan NFP AS pada dagangan sesi terakhir.
Namun dalam tekanan itu, US dolar berjaya melawan arus untuk didagangkan kukuh pada Khamis semalam yang didukung oleh sentimen pasaran pulih.
Pelabur optimis dengan perkembangan perang tarif AS-China ketika kedua-duanya mula melonggarkan tarif ke atas sebahagian barangan import.
Selepas menafikan sebelum ini, Kementerian Perdagangan China memberi isyarat untuk mengadakan rundingan susulan Washington berulang kali ‘memujuk’ untuk perbincangan tarif, namun mengharapkan pegawai-pegawai untuk menunjukkan keikhlasan terhadap Beijing.
Pelabur perlu peka dengan isu-isu semasa tumpuan dan data-data dalam pasaran yang boleh mempengaruhi perubahan arah mata wang. Program HUSTLE24HOUR turut membincangkan berkenaan pasaran bersama ahli-ahli yang berpengalaman. Sertai komuniti HUSTLE24HOUR segera, KLIK LINK INI.