Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) di Malaysia telah melaksanakan dasar gaji kehidupan wajar untuk semua pekerja tetap warga tempatan sebagai sebahagian daripada komitmen menjayakan inisiatif Ekonomi Madani.
GLIC yang terlibat termasuk Khazanah Nasional Bhd, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), dan Lembaga Tabung Haji (TH).
Menerusi penanda aras daripada Panduan Belanjawanku 2024/2025, gaji kehidupan wajar ditetapkan sekitar RM3,100 sebulan, lebih tinggi berbanding gaji minimum semasa RM1,700 yang mula berkuat kuasa 1 Februari 2025.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata langkah GLIC ini adalah pendekatan penting untuk ‘menaikkan lantai’ demi pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan menambah baik kesejahteraan rakyat.
Katanya lagi, melaksanakan visi Ekonomi Madani memerlukan peranan aktif sektor korporat untuk menjamin impak yang berpanjangan.
Pelaksanaan dasar ini adalah sebahagian inisiatif GEAR-uP di bawah Kementerian Kewangan yang memerlukan GLIC untuk memainkan peranan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan sektor utama ekonomi negara.
Kesemua badan syarikat GLIC tersebut menyambut seruan tersebut dengan penuh dedikasi dan menyokong langkah bagi memperkukuhkan kualiti hidup pekerja.
Kesungguhan mereka dalam mendukung prinsip keadilan sosial dan ekonomi, seiring dengan kerangka Ekonomi Madani yang mementingkan kesejahteraan seluruh rakyat. – Sinar Harian