Episod drama tarif menuju klimaks di penghujung minggu ini dengan kesan pengumuman terbaru dari Presiden Donald Trump terus memacu pergerakan pasaran.
US dolar jatuh ke paras terendah 10 tahun berbanding mata wang safe-haven Swiss franc ekoran ketidaktentuan pada pendirian tarif Trump itu.
Penyusutan ketara US dolar pada dagangan sesi New York semalam turut didorong oleh laporan data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan.
Data indeks harga pengguna (CPI) untuk bacaan Mac menunjukkan penurunan kepada 2.4%, daripada 2.8% bulan sebelumnya, lebih rendah berbanding ramalan 2.5%.
Walaupun inflasi menunjukkan penurunan menuju sasaran bank pusat, namun angka tersebut mencerminkan kemerosotan pada kuasa beli pengguna.
Situasi ini akan turut menambahkan kebimbangan terhadap risiko pertumbuhan perlahan ekonomi AS yang sedang dibelenggu kekeliruan tarif.
Trump pada Rabu telah mengumumkan tarif diturunkan kepada 10% untuk kebanyakan negara dan menangguhkan tarif untuk tempoh 90 hari.
Namun, China dikecualikan dari penangguhan tersebut malah tarif terhadap negara Tembok Besar itu dinaikkan lagi kepada 125% berkuat kuasa serta merta.
Tambahan lagi 20% tarif khusus untuk bahan kimia fentanyl menjadikan jumlah tarif terbaru China adalah sebanyak 145%.
Tindakan itu dikatakan sebagai pengajaran kepada China yang menunjukkan ‘rasa tidak hormat’ kepada pasaran dunia.
Keputusan ‘u-turn’ drastik Trump itu mencetuskan reaksi kurang senang pelbagai pihak dan sesetengah mempersoalkan tindakan tersebut sebagai manipulasi pasaran.
Namun perkembangan terbaru, Trump dalam mesyuarat kabinet menyatakan hasratnya untuk menamatkan perang perdagangan dengan China untuk meredakan ketegangan global melalui rundingan konstruktif.