Hutang negara terus naik, subsidi minyak bakal dikurangkan – rakyat patut risau?
Hutang kerajaan terus meningkat, mencecah RM1.247 trilion pada akhir 2024.
Namun, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kadar pertumbuhan hutang semakin perlahan, turun kepada 6.4% pada 2024 berbanding 8.6% pada 2023 dan 10.2% pada 2022.
Selain itu, kerajaan berjaya mengurangkan pinjaman kasar kepada RM198 bilion tahun lalu, lebih rendah daripada RM226.6 bilion pada 2023.
Dengan sasaran defisit fiskal 4.1% tahun ini, beberapa langkah sedang diambil untuk meningkatkan hasil negara, termasuk memperluaskan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) serta melaksanakan e-invois secara berperingkat.
Namun, langkah paling banyak kontroversi adalah subsidi RON95 yang bakal dikurangkan menjelang pertengahan 2025.
Langkah ini dikatakan bertujuan meningkatkan kecekapan perbelanjaan dan membantu golongan rentan, tetapi kesannya terhadap rakyat masih menjadi tanda tanya.
Kerajaan mungkin melihat ekonomi semakin stabil, tetapi dengan lebih banyak cukai dan kurang subsidi, rakyat benar-benar akan rasa lega… atau semakin terhimpit?