Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, mengkritik tarif tinggi yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) sambil memberikan amaran keras bahawa ia akan memberi kesan buruk yang merosakkan ekonomi AS lebih banyak berbanding negara perdagangan lain.
Dalam satu temubual bersama FMT, Dr. Mahathir menekankan bagaimana harga barangan yang meningkat di AS akan membuahkan kos sara hidup lebih tinggi, mendorong pekerja menuntut gaji lebih tinggi, sekaligus menjadikan AS kurang kompetitif di peringkat global.
Menyifatkan Trump sebagai ‘buta dunia’, Mahathir mengkritik pandangan sempit presiden Amerika itu yang sering mencetuskan konflik dengan negara lain sehingga memakan rakyat di negaranya sendiri.
Kenyataan yang berbaur kritikan daripada Pengasas Parti PEJUANG itu muncul selepas ketegangan berpunca daripada kenyataan kontroversial oleh pengulas AS, Bill O’Reilly, mengenai kuasa beli Malaysia yang lemah dan menyifatkan rakyat Malaysia sebagai ‘miskin’.
Namun, kenyataan itu segera ditegur oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dengan memetik data Bank Dunia yang menunjukkan KDNK per kapita Malaysia yang lebih tinggi dari jangkaan menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan menengah atas.
Menariknya adalah isu yang diketengahkan dalam perdebatan ini jelas tidak memihak kepada Amerika sehingga membuka pekung kelemahan pemerintahannya dalam mengawal ekonomi negara.
Namun, persoalannya, bolehkah ia membuka mata Amerika sebelum mereka menghancurkan ekonomi mereka sendiri?
Atau adakah mereka akan menyerang Malaysia atas kenyataan yang dianggap pahit ini?