Amerika Syarikat (AS) telah mengumumkan sekatan terhadap akses cip kecerdasan buatan (AI), dan Malaysia termasuk dalam senarai negara yang dikenakan had penggunaan teknologi ini.
Perkara ini telah disahkan oleh Setiausaha Perdagangan AS di mana langkah ini diambil bagi memastikan AS terus menguasai perkembangan teknologi AI di peringkat global.
Menurut Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo, sekatan ini terdapat tiga tahap, Tahap 1 melibatkan negara sekutu seperti Jepun dan UK yang mendapat akses penuh, Tahap 2 termasuk Malaysia dan Singapura dengan had tertentu dan Tahap 3 melibatkan China dan Rusia yang langsung tidak dibenarkan menggunakan cip AI AS.
Walau bagaimanapun, syarikat seperti Microsoft dan Google masih dibolehkan untuk membina pusat data AI tanpa had, memberi sedikit kelegaan kepada Malaysia.
Namun, syarikat AS hanya dibenarkan maksimum 7% untuk mereka letakkan kuasa perkomputeran mereka di negara tahap 2 termasuk Malaysia.
Secara umum, syarikat-syarikat tersebut hanya boleh menjalankan 50% kuasa perkomputeran mereka di luar negara AS dan 25% untuk negara tahap 1.
Hal ini telah menimbulkan kebimbangan kepada syarikat yang berpangkalan di AS seperti NVIDIA dan Oracle berkenaan pesaing mereka.
Sekatan ini juga akan menyekat akses China ke atas kuasa perkomputeran AS melalui penggunaan pusat data serantau, China telah pun menghadapi sekatan sejak dua tahun lalu.