Bekas Presiden Rusia, Dmitry Medvedev, semalam memberi amaran keras kepada Finland dan Sweden, mengesahkan kedua-dua negara itu kini menjadi sasaran serangan balas Rusia termasuk kemungkinan serangan nuklear susulan keputusan mereka menyertai NATO.
Amaran tersebut hadir ketika Rusia dilaporkan giat membina pangkalan tentera baharu berhampiran sempadan Finland, hanya 160 kilometer dari Helsinki, yang mampu menampung puluhan ribu anggota tentera.
Medvedev turut menegaskan bahawa Rusia kini menganggap Finland dan Sweden sebagai musuh, sekali gus menjadikan mereka secara automatik sebagai sasaran ketenteraan mengikut doktrin pertahanan negara itu.
Dalam masa yang sama, Presiden Vladimir Putin terus memperkukuh angkatan tenteranya dengan menaikkan jumlah anggota kepada 1.5 juta dan meningkatkan perbelanjaan ketenteraan kepada lebih 6% daripada KDNK iaitu tiga kali ganda lebih tinggi berbanding purata negara Eropah.
Ia membawa isyarat yang jelas bahawa Rusia sedang bersedia menghadapi konflik berskala besar.
Memanaskan lagi keadaan apabila negara-negara jiran seperti Poland, Estonia, Latvia dan Lithuania turut mengambil langkah drastik dengan menarik diri daripada perjanjian pengharaman periuk api, menunjukkan kesetiaan mereka kepada NATO dan bersedia menghadapi potensi serangan darat dengan Rusia.
Agensi risikan tertinggi Denmark memberi amaran bahawa Rusia mungkin melancarkan perang skala penuh ke atas Eropah dalam tempoh lima tahun sekiranya NATO dilihat lemah atau tidak bersedia.