Pasaran kewangan kembali paparkan pemulihan pada dagangan Selasa semalam menyaksikan saham global meraih keuntungan dan mata wang kripto terutamanya Bitcoin naik melepasi paras $90,000 semula.
Sementara, harga emas mula menjunam menuju $3,300 semula selepas mencatatkan rekod tertinggi sepanjang masa terbarunya pada $3,500.
Ini menunjukkan keyakinan pelabur semula yang beralih dari aset selamat ke arah pelaburan yang memberi pulangan lebih tinggi.
Ini didorong oleh beberapa perkembangan terbaru dalam pasaran yang masih lagi berkaitan dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Dalam sidang media yang berlangsung, Trump memaklumkan bahawa rundingan bersama dengan China dikatakan berjalan lancar dan memberi isyarat kesepakatan bakal dicapai antara dua pihak.
Tambahnya lagi, tarif yang dikenakan ke atas China tidak akan setinggi 145%, namun kadar tarif tidak akan menjadi sifar.
Selain itu, Trump juga membuat ‘u-turn’ dari ugutannya sebelum ini, dengan memaklumkan bahawa beliau tidak berhasrat untuk memecat Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell walaupun kecewa dengan kadar faedah yang masih tinggi.
Namun, beliau mengharapkan Powell akan lebih aktif dalam pandangan ke arah tindakan menurunkan kadar faedah selepas ini.
Berita terbaru ini dilihat melegakan seketika ketegangan dalam pasaran sebelum ini, mengubah sentimen pasaran semasa kepada ‘risk-on’.
Namun jika situasi kembali berubah semula dengan pandangan Trump yang berubah-ubah, pelabur perlu bersedia untuk risiko ketidaktentuan yang bakal melanda semula.
Tumpuan pasaran pada hari ini (Rabu) akan terarah kepada data-data PMI Eropah dan AS untuk menilai kesihatan semasa ekonomi berdasarkan bacaan angka sektor pembuatan dan perkhidmatan.