Tarif timbal balik yang diumumkan Presiden Donald Trump pada minggu lalu kekal menjadi pemacu utama dagangan sehingga ke minggu ini.
Pusingan baharu tarif ini telah mencetuskan kebimbangan dan ketidaktentuan dalam pasaran dengan indikator ‘greed & fear’ menunjukkan ketakutan yang melampau.
Namun, situasi masih lagi belum berada di kemuncak apabila China lantang menunjukkan kesediaan untuk menentang tarif Amerika.
Setelah China umumkan untuk mengenakan tarif balasan 34%, Amerika sahkan tambahan tarif 50% ke atas China menjadikan jumlah tarif ke atas ekonomi kedua terbesar dunia itu kepada 104% dan akan bermula pada hari ini, Rabu 9 April.
Beberapa negara sedang berusaha untuk berunding dengan Amerika berkenaan isu tarif tersebut, termasuk Malaysia yang turut akan menghantar pegawai untuk memulakan dialog isu tarif.
Situasi buruk akan terus dijangkakan kepada perdagangan global, melainkan pada rundingan atau Trump sendiri yang menghentikan tarif.
Jika berterusan, tarif berisiko menjejaskan rantaian bekalan global dan banyak syarikat yang akan berdepan masalah.
Seterusnya, pengeluar yang terpaksa berdepan dengan peningkatan kos barangan berkemungkinan akan menaikkan harga produk yang akan dijual kepada pengguna.
Situasi lonjakan inflasi yang bakal tercetus akan turut mempengaruhi keputusan bank pusat untuk penetapan dasar monetari mereka untuk mengimbangi tekanan terhadap ekonomi.
Ketika ini, penganalisis memberi amaran untuk pelabur berwaspada dengan pergerakan tak menentu melibatkan mata wang, saham, bon dan instrumen kewangan yang lain.
Pada Khamis, pelabur akan bersedia menantikan terbitan laporan minit mesyuarat FOMC dan juga data inflasi Amerika yang akan menjadi tumpuan Federal Reserve (Fed).