Ketegangan perang tarif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dengan Republik China semakin parah sehingga menimbulkan kekacauan dalam pasaran ekonomi global.
Situasi ini tercetus selepas Trump membalas tarif sebanyak 145% ke atas China susulan penentangan mereka kepada AS.
Pada Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pihak kerajaan persekutuan dan negeri perlu bersedia menghadapi ketidaktentuan akibat tarif Trump semasa menghadiri Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sarawak.
Mesyuarat itu dihadiri barisan terhormat iaitu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta barisan pimpinan peringkat persekutuan dan negeri itu.
Anwar menggesa perancangan tersusun disegerakan bagi memperkukuhkan ekonomi negara daripada terjejas oleh kejutan seperti isu tarif.
Anwar turut membentangkan insentif cukai bank pembangunan Sarawak, Pelan Hala Tuju Gas Sarawak dan projek pembangunan di negeri Sarawak demi mengukuhkan ekonomi negeri serta memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.
Secara keseluruhan, perang dagangan Trump menjejaskan negara-negara Asia Tenggara dengan tarif antara 10 hingga 48 peratus, termasuk Malaysia dan Brunei masing-masing dikenakan 24 peratus.