Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol ditahan hari ini selepas beratus-ratus penyiasat antirasuah dan polis menyerbu kediaman beliau untuk menamatkan kebuntuan selama berminggu-minggu.
Sebelum ini, Suk-yeol didakwa atas pertuduhan melakukan pemberontakan berhubung usaha jangka pendeknya dengan mengenakan undang-undang tentera pada bulan lalu dan beliau menjadi presiden pertama dalam sejarah Korea Selatan yang ditangkap.
Beratus-ratus pegawai polis dan penyiasat dari Pejabat Siasatan Rasuah memenuhi jalan masuk ruang kediaman presiden sebelum subuh hari ini.
Ia merupakan usaha kali kedua mereka menangkap Suk-yeol.
Percubaan pertama dilakukan pada 3 Januari lalu gagal selepas kebuntuan selama berjam-jam apabila anggota Perkhidmatan Keselamatan Presiden (PSS) enggan memberi kerjasama semasa pihak berkuasa melaksanakan waran penangkapan.
Kini, peguam Presiden Suk-yeol mengumumkan di laman Facebook bahawa beliau bersetuju untuk bercakap dengan penyiasat.
Wartawan AFP melaporkan berlakunya sedikit pergelutan di pintu pagar apabila para penyokong tegar Suk-yeol berkhemah untuk melindunginya, ketika pihak berkuasa mula mengerumuni pekarangan tersebut.
Sementara itu, Suk-yeol menerusi mesej video yang dirakam berkata beliau memutuskan untuk disoal siasat bagi mengelakkan pertumpahan darah walaupun beliau percaya siasatan itu adalah menyalahi undang-undang.
Suk-yeol boleh ditahan sehingga 48 jam berdasarkan waran sedia ada. Penyiasat bagaimanapun perlu memohon satu lagi waran tangkap untuk mengekalkannya dalam tahanan. – AFP