Ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada awal dagangan Rabu apabila Indeks Dolar AS (DXY) susut kepada 103.419 mata daripada 103.900 mata sebelum ini, walaupun pembukaan pekerjaan AS pada Januari lebih kukuh daripada jangkaan.
Tepat jam 9.30 pagi, ringgit berada pada paras 4.4200 susut 0.23% berbanding dolar AS daripada ia ditutup 4.4100.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pembukaan pekerjaan AS meningkat kepada 7.74 juta pada Januari, melebihi anggaran konsensus 7.6 juta mendorong hasil Perbendaharaan AS lebih tinggi.
Hasil dua tahun dan 10 tahun meningkat enam dan tujuh mata asas kepada 3.94 peratus dan 4.28 peratus masing-masing.
Beliau menyatakan bahawa ekuiti global jatuh semula kerana ketidakpastian terhadap tarif AS menyebabkan peniaga dan pelabur bertahan.
Oleh itu, data Indeks Harga Pengguna (CPI) AS malam ini akan dipantau rapi oleh peniaga.
Sementara itu, ringgit kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9778/9830 daripada 2.9921/9974 pada penutup Selasa tetapi lemah berbanding pound Britain kepada 5.7068/7165 daripada 5.7035/7132 dan susut nilai berbanding euro kepada 4.8121/8203 daripada 4.8091/8173.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.
Ia jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.3127/3188 daripada penutup Selasa 3.3118/3177 dan susut berbanding baht Thailand kepada 13.0679/0967 daripada 13.0415/0695.
Bagaimanapun, ia tidak berubah berbanding peso Filipina dan rupiah Indonesia, masing-masing kekal pada 7.70/7.72 dan 268.7/269.3. – Bernama