Carta pasangan mata wang GBP/USD mengekalkan kenaikan pada pembukaan dagangan awal minggu ini dengan peningkatan harga ke paras ketinggian baharu mengatasi paras minggu lepas sebelum berundur turun semula.
Pelabur mengambil langkah berjaga-jaga berikutan ketidaktentuan pasaran untuk minggu terakhir dagangan bulan Februari ini sambil memerhati petunjuk baharu.
US dolar bermula suram di sesi Asia pagi Isnin semalam sebelum kembali pulih paparkan pengukuhan di sesi-sesi berikutnya.
Pelabur bersedia dengan situasi pasaran yang berisiko semula susulan kenyataan Presiden Donald Trump yang mengatakan tarif terhadap Kanada dan Mexico akan diteruskan seperti yang diumumkan tempoh hari.
Untuk pergerakan mata wang US dolar, tinjauan keyakinan pengguna Amerika Syarikat (AS) akan diperhatikan pada sesi New York malam ini sebelum tumpuan beralih kepada data indeks harga PCE di penghujung minggu.
Pada carta GBP/USD, harga hampir menyentuh paras 1.27000 sebelum berundur semula menuju zon 1.26000.
Pergerakan harga di sesi New York semalam dilihat mendatar sehingga dagangan yang bersambung ke sesi Asia pagi ini.
Namun harga yang berlegar di bawah garisan halangan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam di carta GBP/USD itu memberi amaran awal untuk perubahan trend.
Sekiranya harga mula susut di bawah 1.26000, berkemungkinan penurunan lanjut akan berlaku dan menguatkan isyarat bearish buat harga.
Seterusnya, harga bakal menguji paras sekitar 1.25000 sebelum tumpuan lebih rendah terarah kepada 1.24000 pula.
Namun jika harga berjaya melantun naik semula, zon 1.27000 merupakan rintangan penting untuk harga uji dan tembusi.
Jika berjaya, harga bakal catatkan paras ketinggian baharu 11 minggu menuju sasaran pada sekitar 1.28000.
Lihat gambar carta harga pasangan GBP/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.