Memerhati pembukaan dagangan awal minggu semalam, US dolar bermula lemah di sesi awal sebelum kembali paparkan pengukuhan semula ketika beralih kepada sesi-sesi berikutnya.
Menyokong pergerakan positif US dolar selepas ini apabila kenyataan yang disampaikan oleh Presiden Donald Trump di White House awal pagi tadi yang kembali meningkatkan semula kebimbangan dalam pasaran.
Setelah mengumumkan penangguhan tempoh 30 hari sebelum ini, Trump memberitahu bahawa tarif import Kanada dan Mexico akan diteruskan pada Mac.
Trump menerima kunjungan Presiden Perancis, Emmanuel Macron di White House dengan situasi dilihat agak tegang ketika membincangkan tentang konflik Rusia-Ukraine.
Presiden Macron tidak bersetuju dengan Trump dalam beberapa isu penting setelah genap 3 tahun tempoh tercetusnya perang antara Rusia dan Ukraine sejak 2022.
Macron menyatakan bahawa Rusia jelas adalah penceroboh dalam konflik ini, sementara Trump tidak mahu mengatakan Presiden Rusia, Vladimir Putin sebagai diktator selepas beliau pada minggu lepas mengatakan Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskiy sebagai diktator.
Namun, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk mencari jalan bagi perdamaian berlaku secepat mungkin.
Pada sesi New York hari ini (Selasa), pelabur akan menilai data keyakinan pengguna Amerika Syarikat (AS) yang boleh mempengaruhi pergerakan US dolar selanjutnya sebelum tumpuan beralih kepada laporan pertumbuhan ekonomi AS pada Khamis.
Euro didagangkan lemah setelah capai paras tertinggi terbaru 4 minggu sementara pelabur memerhati perkembangan pilihan raya yang berlangsung di Jerman.
Selain mata wang Eropah, mata wang Asia juga turut menunjukkan pengunduran dengan dolar Aussie didagangkan berhati-hati menjelang laporan inflasi Australia pada Rabu.
Sementara Yen pula menunjukkan tanda-tanda awal penyusutan selepas beberapa hari bergerak kukuh berbanding US dolar.