Berikutan tarif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump semakin berleluasa di pasaran global, harga iPhone keluaran syarikat Apple dijangka melambung semakin tinggi.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, jika tarif 145% dikenakan, harga iPhone boleh meningkat dari AS$549.73 (RM2,424) kepada AS$1,400 (RM6,174).
Beliau memaklumkan pula, komponen pembuatan iPhone ini didatangkan dari seluruh dunia termasuk cip dari Taiwan, bateri dari China, skrin dari Korea Selatan, memori dari AS dan kamera daripada pelbagai negara lain.
Sekiranya iPhone dihasilkan oleh AS, harganya akan mencecah AS$3,500 (RM16,000).
Tambahannya lagi, AS mungkin menaikkan semula tarif selepas pengumuman pengecualian untuk produk teknologi seperti telefon pintar dan komputer dibuat.
Media antarabangsa turut melaporkan harga iPhone diramalkan melonjak antara 30 hingga 43 peratus susulan tarif dagangan AS.
Situasi ini berpunca daripada tindakan pentadbiran Trump mengenakan tarif 145% ke atas barangan China ke AS sebagai tindak balas terhadap penentangan China.
Secara keseluruhan, syarikat Apple berdepan kesukaran menanggung keseluruhan kos operasi perniagaan dan halangan untuk menghantar produk kepada pelanggan sekiranya tarif berterusan.