Situasi pasaran yang kekal tidak menentu terus mengundang kegelisahan para pelabur untuk dagangan minggu terakhir bulan Februari ini.
US dolar kembali paparkan penyusutan nilai pada Selasa semalam yang turut dipengaruhi oleh data tinjauan keyakinan pengguna Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan dengan angka merosot.
Penurunan bagi bacaan Februari kepada 98.3 mata adalah lebih rendah berbanding ramalan, dan menunjukkan kejatuhan terbesar indeks sejak Ogos 2021.
Raja mata wang itu susut berlegar ke paras terendah 2 bulan selepas gagal meneruskan pemulihan perlahan yang dipaparkan pada Isnin lalu.
Selain itu, hasil perbendaharaan 10-tahun AS menunjukkan penurunan sekitar 4.3% pada Selasa, paras terendah sejak pertengahan Disember lalu.
Penganalisis pasaran mengekalkan amaran berjaga-jaga susulan Presiden Donald Trump memberi isyarat untuk tarif ke atas Mexico dan Kanada akan diteruskan pada awal Mac setelah menangguhkan untuk tempoh sebulan.
Pertumbuhan ekonomi AS akan diperhatikan pelabur menerusi laporan data terbaru yang akan diterbitkan pada Khamis sementara peningkatan inflasi yang semakin tinggi menggusarkan para penggubal dasar.
Dalam ucapan awal pagi Rabu, Presiden Trump telah menandatangani perintah eksekutif untuk Jabatan Perdagangan AS melancarkan siasatan ke atas pasaran tembaga yang berkemungkinan boleh mendorong kepada pengenaan tarif.
Beliau yang mengulangi hasrat untuk menetapkan cukai perkhidmatan digital negara lain turut membuat kenyataan bahawa AS tidak memerlukan minyak mentah Kanada atau produk kayu.
Di sesi Asia pagi ini, tumpuan terarah kepada laporan inflasi Australia sementara di sesi New York nanti, laporan jualan rumah baru AS dan inventori minyak AS akan diberikan perhatian.