Keputusan mesyuarat FOMC yang pertama 2025 pada minggu lepas tidak mengejutkan pasaran apabila kadar faedah kekal di paras 4.50% seperti yang dijangkakan.
Impak tidak begitu ketara selepas kenyataan susulan dengan nada berhati-hati oleh Pengerusi Federal Reserve (Fed) Jerome Powell dengan penutupan pasaran di penghujung minggu lalu yang agak tenang.
Namun, situasi berubah di hujung minggu ketika Presiden Donald Trump semakin agresif untuk pelaksanaan tarif khususnya ke atas Kanada, Mexico dan China.
Kehangatan perang dagang sudah mula terasa apabila Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau telah mengumumkan serangan balas tarif sebanyak 25% ke atas Amerika Syarikat (AS).
Susulan itu, Trump kini memaklumkan bahawa akan mengadakan perbincangan bersama Kanada dan Mexico berkenaan tarif.
Pasaran kini sedang dipacu oleh sentimen pasaran berisiko (risk-off) susulan situasi berbalas tarif tersebut, memberi kelebihan kepada US dolar sebagai mata wang safe-haven untuk mengukuh di pembukaan dagangan awal minggu ini.
Dolar Kanada ketara terkesan dengan kejatuhan nilai mata wangnya berbanding US dolar ke paras paling rendah sejak 2003.
Mata wang utama lain juga turut alami situasi yang sama dengan dolar Australia jatuh ke paras terendah 5 tahun.
Euro dan Pound catatkan perbezaan pembukaan harga (gap) sekitar 100 pips pada carta harga masing-masing berbanding US dolar di sesi Asia pagi Isnin ini.
Pelabur akan menjangkakan kelebihan kepada US dolar untuk beberapa sesi terawal ini, namun akan kekal waspada untuk sebarang situasi yang tak terjangka dicetuskan oleh Trump.