Ketika isu perang tarif menjadi kebimbangan utama pasaran, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump hadir dengan beberapa kejutan di sesi New York semalam.
Ekoran keengganan China untuk tunduk dengan tarif Trump dan turut mengenakan tarif tambahan, Trump yang sebelum ini memberi amaran jumlah 104% tarif ke atas China mengumumkan tambahan baru kepada 125% berkuat kuasa serta merta.
Tindakan ini dikatakan sebagai ‘pengajaran’ kepada China supaya tidak menentang Amerika lagi di masa hadapan.
Walaupun pengumuman itu meningkatkan kebimbangan, namun tindakan seterusnya Trump telah kembali memulihkan suasana pasaran.
Berikutan lebih 75 negara yang menghubungi pegawai-pegawai Amerika untuk rundingan penyelesaian tarif ini, Trump telah mengarahkan untuk tempoh penangguhan tarif selama 90 hari.
Dalam tempoh itu juga, tarif timbal balik akan diturunkan kepada 10% berkuat kuasa serta merta.
Namun menurut pegawai AS, tiada perubahan pada tarif ke atas Kanada dan Mexico untuk auto, keluli dan aluminium yang telah dikenakan sebelum ini.
US dolar kembali paparkan pengukuhan berbanding mata wang safe-haven lain termasuk yen dan Swiss franc.
Selain itu juga, tumpuan pada sesi New York terarah kepada minit FOMC yang diterbitkan untuk pelabur menilai butiran lanjut pada mesyuarat terbaru.
Meneliti minit, ahli penggubal dasar Federal Reserve (Fed) sebulat suara bersetuju ekonomi Amerika berisiko alami lonjakan inflasi dan pertumbuhan perlahan.
Kadar faedah dijangka akan terus dikekalkan Fed dalam ketidaktentuan pasaran yang mempengaruhi unjuran ekonomi.
Tumpuan pasaran pada hari ini (Khamis) akan terarah kepada petunjuk baharu menerusi laporan data indeks harga pengguna (CPI) AS yang mengukur kadar inflasi pada bulan Mac.