Corak penyusutan nilai pada pergerakan mata wang US dolar sejak Isnin lalu diteruskan sehingga Rabu semalam.
Raja mata wang itu gagal mendapat tarikan ketika sentimen pasaran berisiko yang memberi kelebihan kepada mata wang saef-haven lain termasuk Yen selain aset emas yang memuncak mencipta ketinggian harga terbaru dalam sejarah.
Sentimen pasaran kekal berisiko dengan tumpuan pada isu tarif tarif dan juga perkembangan lain berkenaan polisi dalam pentadbiran Presiden Donald Trump.
Antaranya tekanan terhadap eksport minyak Iran oleh Trump dengan alasan untuk menghentikan Tehran daripada memperoleh senjata nuklear.
Selain itu, turut menimbulkan rasa tidak puas hati ramai pihak apabila Trump pada pertemuan bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu,membentangkan rancangan untuk mengambil alih Gaza dan ‘menghalau’ 2 juta rakyat Palestin keluar untuk ditempatkan di negara-negara di Timur Tengah.
Beberapa negara menyatakan bantahan terhadap rancangan tersebut termasuk Arab Saudi, Sepanyol, Perancis dan Indonesia.
Perkembangan lanjut isu-isu berikut akan terus dipantau pelabur untuk menilai kesan terhadap perubahan sentimen pasaran semasa.
Di sesi New York semalam, laporan data ADP yang mengukur pekerjaan swasta di Amerika Syarikat (AS) diperhatikan dengan bacaan bagi Januari diterbitkan dengan angka yang lebih tinggi dari ramalan dan bulan sebelumnya.
Ini memberi isyarat baik menjelang laporan pekerjaan NFP pada Jumaat setelah laporan data JOLTS pada Selasa adalah suram.
Menyusul pula data PMI perkhidmatan AS tinjauan ISM untuk bacaan Januari yang sedikit menurun kepada 52.8 mata berbanding 54.1 sebelum ini.
Walaupun bacaan berbeza berbanding tinjauan sektor pembuatan yang lebih baik pada Isnin lalu, namun kedua-dua sektor masih kekal baik di atas paras 50 mata.
Tumpuan pasaran pada hari ini (Khamis) akan terarah kepada keputusan mesyuarat bank pusat England pada jam 8 malam waktu tempatan.
Bank of England (BOE) dijangka menurunkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 4.50%, dengan undian ahli MPC akan diperhatikan.
Isyarat dovish pada nada yang disampaikan oleh gabenor dalam kenyataan susulan boleh memberi kesan kejatuhan nilai terhadap Pound.