Pada Rabu semalam, dagangan saham Wall Street melonjak tinggi untuk kembali pulih selepas kejatuhan besar pasaran global daripada minggu lalu.
Ketiga-tiga indeks utama meningkat dramatik selepas pengumuman penangguhan tarif oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Indeks S&P 500 meningkat 9.5% kepada 5.456.90 sementara Dow Jones melonjak 7.9% kepada 40,608.45.
Manakala indeks Nasdaq yang mengukur syarikat-syarikat berasaskan teknologi pula kukuh 12.2% kepada 17,124.97.
Peningkatan pada indeks-indeks utama itu didorong pengumuman jeda 90 hari tarif oleh Trump berikutan kebanyakan negara telah menghubungi AS untuk adakan rundingan berkenaan isu tarif.
Perkembangan ini memberi nafas lega kepada pelabur, mendorong mereka untuk kekal yakin terhadap syarikat gergasi meskipun berdepan ketidaktentuan akibat tarif global.
Namun, Trump juga mengenakan tarif tambahan terbaru ke atas China berjumlah 125%, disebabkan penentangan negara itu yang turut mengumumkan tarif tambahan ke atas Amerika.