Harga komoditi jatuh mendadak selepas China melancarkan peraturan baru terhadap pengelolaan indeks harga untuk komoditi dan perkhidmatan pada hari Khamis, ketika kerajaan mengambil langkah untuk menahan kenaikan inflasi.
Peraturan tersebut, yang dijangka berkuatkuasa mulai 1 Ogos, akan menyeragamkan bagaimana indeks harga disusun dan meningkatkan ketelusan mengenai pengeluaran maklumat, kata Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Nasional (NDRC) di akaun rasmi WeChat.
Minggu lalu, NDRC telah mengeluarkan kenyataan untuk memperketatkan pemantauan terhadap harga komoditi dan memperkuat pengawasan terhadap pasaran.
Ini susulan data yang menunjukkan indeks harga pengeluar di negara ini yang mencapai paras tertinggi dalam tempoh lebih 12 tahun pada bulan Mei, di mana sebahagian besarnya didorong oleh kenaikan kos komoditi.
Berdasarkan peraturan baru, penyedia indeks harga perlu bebas dari pihak berkepentingan langsung di pasaran komoditi dan perkhidmatan yang diliputi oleh indeks. Maklumat mengenai penyedia dan kaedah yang digunakan untuk mengembangkan dan merumuskan indeks juga perlu diungkapkan sepenuhnya.
Suruhanjaya itu juga mengatakan pihak berkuasa akan memiliki hak untuk mengkaji kepatuhan dan mengambil tindakan tatatertib untuk ketidakpatuhan.
Susulan kenyataan ini, dagangan komoditi mengalami kejatuhan drastik pada hari Khamis, terutamanya bagi niaga hadapan paladium dan platinum yang masing-masing jatuh lebih 11% dan 7%. Sementara niaga hadapan berkaitan tembaga pula susut 4.8%.
Bagaimanapun, dagangan komoditi ini kembali mencatat peningkatan pada hari Jumaat, tetapi masih gagal memadam kerugian sebelum ini, dengan paladium meningkat 3% dan platinum pula naik sekitar 2.6%.