“Musk selalu buat tindakan di luar jangkaan, agaknya lepas ni apa pula ye?”
Mencuri tumpuan pengguna media sosial, gambar profil Twitter telah diubah kepada memecoin paling popular Dogecoin (DOGE) selepas Elon Musk meminta hakim Amerika Syarikat (AS) membatalkan tuntutan mahkamah $258 bilion yang difailkan oleh pelabur atas kesalahan menaikkan harga memecoin itu melalui penggunaan skim ponzi.
Diperjelaskan lebih terperinci, penukaran gambar profil Twitter tersebut telah terjadi apabila Pengerusi WSB, seorang peniaga saham terkenal sebelum ini pernah berkata kepada Musk untuk membeli platform media sosial itu dan menukarkan logo burung biru kepada DOGE.
Meskipun begitu, sebahagian pelabur berpandangan tindakan Musk tersebut adalah sekadar gurauan untuk ‘April Fool’ bagi mengejutkan jutaan pengguna Twitter.
Manakala sebilangan kecil pelabur pula sungguh percaya bahawa ia adalah langkah yang sangat bijak susulan DOGE sebagai logo Twitter dapat mengembangkan lagi pasaran mata wang kripto secara besar-besaran.
Namun, pelabur masih tidak jelas sama ada perubahan gambar profil tersebut adalah langkah sementara oleh pihak pengurusan Twitter ataupun tidak susulan harga DOGE boleh terjejas jika logo baharu itu diturunkan semula.
Walau bagaimanapun, harga DOGE dilaporkan mendaki tinggi sehingga menembusi $0.10 apabila penukaran itu berlaku sebelum susut sedikit pada $0.089. Tetapi kini melonjak kembali sebanyak 20.39% pada paras $0.094 dalam tempoh 24 jam lalu.
Tempias turut dirasai oleh beberapa kripto lain seperti memecoin kedua terbesar Shiba Inu (SHIB) turut melihat kenaikan melebihi 4.41% pada paras $0.00001124 dalam tempoh 24 jam terakhir dengan modal pasaran $6 bilion dan Floki Inu (FLOKI) pula canak mencapai $0.000040 sebelum turun semula pada $0.000036.