Nak ambil kelas memandu, bayar. Nak ambil ujian memandu, bayar. Nak perbaharui lesen memandu, bayar. Sekarang, kalau nak lesen memandu fizikal pun kena bayar juga?
Kementerian Pengangkutan kini mempertimbangkan untuk mengenakan caj bagi mereka yang masih mahu mendapatkan salinan fizikal lesen memandu mulai tahun depan.
Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mempercepatkan era digital di Malaysia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, mengesahkan kenyataan tersebut dan mengumumkan bahawa mereka yang memilih untuk mendapatkan lesen fizikal perlu membayar kos pencetakan lesen tersebut, walaupun jumlah caj tersebut belum diumumkan.
Langkah ini diambil selepas kejayaan aplikasi MyJPJ yang membolehkan rakyat Malaysia menguruskan lesen memandu digital dan cukai jalan.
Aplikasi tersebut telah memproses lebih satu juta transaksi dan menghasilkan hampir RM121 juta pendapatan sejak aplikasi itu dilancarkan.
Selain itu, langkah ini dikatakan dapat mengurangkan kos pencetakan dan meningkatkan kecekapan.
Namun, selepas membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan lesen dan pembaharuan lesen, tiba-tiba ada pula caj untuk lesen fizikal.
Ini pastinya akan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Adakah langkah ini betul-betul untuk memudahkan rakyat atau hanya satu lagi taktik untuk menambah pendapatan negara dengan cara membebankan rakyat?