US dolar mula menunjukkan pengukuhan awal pada dagangan sesi Eropah semalam, namun gagal untuk meneruskan momentum pemulihan tersebut pada sesi New York.
Pelabur telah mula bersiap sedia dengan amaran perubahan sentimen pasaran berisiko (risk-off) apabila ketegangan perang Rusia-Ukraine kembali meningkat semula.
Dilaporkan Ukraine telah bertindak menyerang Rusia buat pertama kali selepas situasi perang yang agak reda sebelum ini, dengan menggunakan peluru berpandu ATACMS yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat (AS).
Sebelum serangan itu berlaku, Presiden Rusia Vladimir Putin telah pun meluluskan perubahan doktrin nuklear Rusia yang menggariskan keperluan Moscow untuk menggunakan senjata nuklearnya apabila Presiden AS Joe Biden membenarkan Ukraine untuk menggunakan senjata mereka.
Justeru, pelabur kini sedang berwaspada menantikan serangan balas oleh Rusia ke atas Ukraine semula yang akan memberi impak ketara terhadap pasaran.
Reaksi Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov mengatakan akan melakukan segala yang termampu untuk mengelakkan perang nuklear tercetus, sementara menunjukkan reaksi positif dengan keputusan Jerman untuk tidak membekalkan peluru berpandu jarak jauh mereka kepada Ukraine.
Pergerakan pasaran mata wang tidak menunjukkan corak yang jelas buat ketika ini dengan US dolar masih tidak paparkan lonjakan nilainya.
Namun, aset safe-haven seperti emas telah mula mendapat tarikan dengan harga yang memaparkan pemulihan yang positif sehingga dagangan bersambung ke hari ini (Rabu).
Pelabur akan mengambil langkah berhati-hati dalam memerhati perkembangan perang yang kini menjadi tumpuan utama dalam pasaran.