Sentimen pasaran berada dalam keadaan berisiko ekoran para pelabur serta pemain pasaran tertumpu terhadap penyongsangan lengkungan pada carta hasil pulangan bon Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai ‘inverted yield curve’.
Situasi merisaukan tersebut dijelaskan oleh para penganalisis pasaran bahawa ia merupakan salah satu isyarat bahawa ekonomi sedang menuju ke arah kegawatan.
Penyongsangan lengkungan hasil bon AS adalah situasi yang melihatkan hasil pulangan bon jangka masa panjang memberi pulangan lebih rendah berbanding hasil pulangan bon jangka pendek.
Ini berlaku apabila hasil pulangan bon 10 tahun AS telah bergerak lebih rendah berbanding hasil pulangan bon 2 tahun AS buat pertama kali sejak tahun 2007. Penyongsangan pada hasil pulangan tersebut telah mencetuskan situasi panik dalam pasaran.
Sementera, indeks Dow Jones telah menjunam lebih 800 mata atau 3%, merekodkan kejatuhan terbesar tahunan.
Kebimbangan yang melanda adalah berikutan situasi ‘inverted yield curve’ ini seringkali terbentuk sebelum krisis ekonomi berlaku mengikut kajian ekonomi terdahulu. Ia tetap akan mengambil masa berbulan atau bertahun sebelum terjadinya krisis, namun situasi tersebut boleh dijadikan sandaran sebagai petanda awal ke arah kemelesetan ekonomi.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump turut menyalahkan Federal Reserve di atas situasi yang berlaku itu disebabkan kesilapan dalam membuat keputusan pelaksanaan polisi monetari.
Justeru, pelabur mula berwaspada dan mengatur strategi dagangan dan pelaburan yang terbaik dalam persiapan berdepan sebarang kemungkinan cabaran dalam pasaran pada masa akan datang.