Niaga hadapan emas meningkat ke paras harga $1,800 untuk pertama kali dalam tempoh lebih dari lapan tahun ketika kes baru Covid-19 terus mencatatkan peningkatan dan lebih banyak rangsangan mungkin akan dilaksanakan.
Ini merupakan penutupan tertinggi untuk kontrak paling aktif sejak September 2011, yang mana niaga hadapan emas ditutup tinggi $1,891.90 pada Ogos 2011.
Selain itu, spot emas didagangkan meningkat di sekitar paras harga $1,781 per auns pada sesi Asia, setelah melonjak ke tahap ketinggian terbaru yang pernah dicapai sejak Oktober 2012, iaitu pada $1,785.46.
Dengan jumlah kes coronavirus kini telah melebihi 10 juta dan terus mencatatkan peningkatan, permintaan terhadap logam berharga ini meningkat memandangkan pelabur beralih ke aset yang lebih selamat.
Malah, Goldman Sachs menjangkakan emas mungkin meningkat ke paras tertinggi $2,000 per auns dalam tempoh 12 bulan akan datang sekiranya kes Covid-19 terus meningkat.
Sejak beberapa hari kebelakangan ini, Amerika Syarikat telah melaporkan lebih 40,000 kes baru Covid-19 setiap hari, terutamanya di Florida, Texas, California dan Arizona. Ini secara tidak langsung telah menimbulkan kebimbangan terhadap usaha pemulihan ekonomi yang mungkin terjejas.
Sementara itu, Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin dan Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell memberitahu bahawa lebih banyak rangsangan akan dilaksanakan untuk membantu pemulihan ekonomi dari impak coronavirus.
Setakat ini, harga emas telah meningkat 17%, didorong oleh pelbagai rangsangan ekonomi dari bank pusat di seluruh dunia, ketegangan AS-China dan kebimbangan terhadap kejatuhan ekonomi kesan dari wabak pandemik Covid-19.