Bursa Malaysia Securities Bhd (Bursa Securities) menasihatkan para pelabur supaya berhati-hati dan membuat keputusan yang tepat dalam dagangan saham Dataprep Holdings Bhd yang baru-baru ini merekodkan lonjakan dalam harga serta jumlah.
Lapor Bernama, Bursa Securities turut memaklumkan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya untuk memastikan dagangan yang teratur dan adil untuk saham Dataprep.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan semalam, Bursa Securities menekankan tindak balas penyedia perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi terhadap pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) yang dikeluarkan pada 1 Mac lalu.
“Syarikat tersebut menerusi respons terhadap pertanyaan UMA menjelaskan bahawa mereka tidak menyedari sebarang perkembangan atau penjelasan korporat yang boleh menimbulkan aktiviti perdagangan luar biasa dalam sahamnya kecuali pengumuman yang dibuat pada 15, 16 dan 23 Februari,” ujarnya.
Pada 15 Februari lalu, Dataprep mengumumkan kejayaan pengambilalihan 51% kepentingan dalam pengedar komponen serta perkakasan multimedia, Ridaa Associates Sdn Bhd pada harga RM3 juta manakala pengumuman yang dibuat pada 16 dan 23 Februari adalah berhubung dengan cadangan penempatan persendirian sehingga 20% daripada jumlah saham terbitan Dataprep.
Ketika pasaran ditutup semalam, saham Dataprep naik 50 sen atau 18.87% lebih tinggi pada RM3.15 selepas berlegar antara RM2.65 dan RM3.33 semalam, dengan 63.68 juta saham bertukar tangan.
Sewaktu artikel ini ditulis, saham Dataprep turun 25 sen atau 7.94% kepada RM2.90.