Penarafan ‘terbaik’ menanti dagangan komoditi hitam yang telah memaparkan prestasi memberangsangkan pada tahun ini, setelah mencatatkan peningkatan terbesarnya dalam tempoh 12 tahun.
Pada sesi Asia, niaga hadapan minyak mentah Brent diniagakan meningkat pada sekitar harga $78.90 setong, dan dagangan WTI pula menguat pada $76.40 setong.
Pada hari terakhir 2021, niaga hadapan minyak mentah Brent berada di landasan untuk mengakhiri dagangan dengan kenaikan 53%, sementara WTI Amerika Syarikat pula sebanyak 57%.
Peningkatan ini adalah yang terkuat pernah ditunjukkan oleh kedua-dua penanda aras sejak tahun 2009, di mana harga telah melonjak lebih 70%.
Dagangan minyak mentah telah menunjukkan pemulihan yang kukuh pada tahun ini walaupun dunia masih lagi berdepan dengan ancaman Covid-19 dari penularan terbaru varian Delta dan Omicron.
Masalah kekurangan bekalan minyak mentah dunia juga turut menyokong pengukuhan harga, memperlihatkan permintaan yang lebih kuat mengatasi penawaran dalam pasaran.
Pertemuan OPEC pada minggu hadapan, dijangka akan menyaksikan para pengeluar utama minyak dunia akan kekal pada rancangan mereka untuk menambah pengeluaran bulanan sebanyak 400,000 tong sehari.