Perdana Menteri China, Li Keqiang mengumumkan pada hari Jumaat, ekonomi kedua terbesar di dunia itu akan mensasarkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih 6% untuk tahun 2021.
Pada hari pertama sesi tahunan parlimen Kongres Rakyat Nasional (NPC), Li menyampaikan laporan kerjanya mengenai anggaran fiskal 2021, kepentingan ekonomi dan perindustrian untuk tahun ini, serta rancangan pembangunan untuk lima dan 15 tahun ke depan.
Li memberitahu negara itu meramalkan pertumbuhan kadar pengangguran sekitar 5.5% dan lebih 11 juta penciptaan pekerjaan baru. Beijing juga mensasarkan kenaikan sekitar 3% dalam indeks harga pengguna yang menjadi ukuran pada inflasi.
China melaporkan pertumbuhan 2.3% pada tahun lalu sebagai satu-satunya ekonomi utama yang berkembang di tengah-tengah krisis pandemik coronavirus.
Sementara itu, dalam rancangan lima tahun yang dikeluarkan secara berasingan, China menghapuskan sasaran pertumbuhan KDNK untuk 2021-2025, berbeza dengan 6.5% yang ditetapkan untuk rancangan 2016-2025, tetapi mengekalkan pertumbuhan tahunan purata selama lima tahun akan datang dalam julat yang ‘munasabah’.
Turut menjadi tumpuan dalam mesyuarat tahunan NPC atau juga dikenali sebagai ‘Dua Sesi’, adalah perubahan dalam pentadbiran Hong Kong. Kongres akan mengkaji semula cadangan untuk merombak sistem pemilihan.
Walaupun perincian cadangan belum diumumkan, langkah itu mungkin akan membataskan kemampuan pembangkang politik Hong Kong untuk memenangi jawatan.