Permulaan dagangan sesi Asia memperlihatkan raja matawang US dolar yang merosot, mendorong kebanyakan matawang utama untuk meningkat semula di tengah-tengah pasaran saham AS yang kembali stabil.
Dolar greenback kehilangan sinarnya menjelang pembukaan sesi New York dan kemerosotan dilihat berterusan sehingga awal sesi Asia hari ini.
Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding kebanyakan matawang utama didagangkan mendatar pada 90.77, setelah menyentuh puncak tertinggi hampir empat minggu pada 91.40 ketika sesi sebelum ini.
Penanda aras hasil perbendaharaan AS 10 tahun mencatatkan penurunan lebih rendah pada 1.398%, susut dari tahap tertinggi satu tahun yang dicatatkan minggu lalu, 1.6%.
Dolar Aussie kembali meraih sedikit kekuatan untuk meningkat selepas menyaksikan penerbitan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Australia yang mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada suku terakhir tahun 2020.
Ekonomi Australia meningkat 3.1% pada suku keempat, setelah mencatatkan pertumbuhan 3.4% pada suku sebelumnya, mengalahkan jangkaan pasaran sebanyak 2.5%. Dengan mencatatkan pertumbuhan untuk suku kedua berturut-turut, ini menunjukkan ekonomi terus pulih dari Covid-19 setelah dibantu oleh rangsangan monetari dan fiskal yang besar.
Matawang sensitif risiko itu juga sebelum ini telah mendapat sokongan daripada kenyataan bank pusat untuk mengekalkan rangsangan. Gabenor bank pusat Australia (RBA), Philip Lowe menegaskan kembali komitmen untuk mengekalkan sasaran hasil bon 3 tahun pada 0.10%.