Kelemahan US dolar ke paras terendah satu bulan telah memberi dorongan buat dagangan logam berharga emas untuk meningkat lebih tinggi.
Pada sesi Asia, harga emas meneruskan kenaikan menghampiri paras ketinggian 7 minggu, dengan diperdagangkan di sekitar harga $1,777 per auns.
Walaupun mencatat sedikit kenaikan pada awal sesi, US dolar kekal didagangkan lebih rendah berbanding pesaingnya, menjadikan emas lebih murah bagi pemegang matawang utama yang lain.
Penanda aras hasil perbendaharaan AS 10 tahun pula kekal rendah di sekitar paras 1.56%, susut lebih jauh dari paras ketinggian 1.77% yang dicapai sebelum ini.
Dari segi fizikal, China dilaporkan telah mengurangkan larangan bagi bank-bank yang mengimport emas fizikal, menurut Reuters.
Berita tersebut menunjukkan kenaikan dengan kira-kira 150 tan import emas berbanding purata baru-baru ini 10 tan dan pembelian 75 tan sebulan pada tahun 2019. Turut dilaporkan, rekod pembelian emas oleh India hampir mencecah 160 tan pada bulan Mac.
Untuk pengetahuan, India dan China adalah pengguna emas terbesar di dunia dan petunjuk peningkatan pembelian semestinya membantu kenaikan harga emas, lebih-lebih lagi dengan kelemahan US dolar.