Harga minyak meningkat lebih $1 pada hari Isnin berikutan peningkatan keyakinan pasaran terhadap pemulihan ekonomi global selepas terdapat kemajuan besar dalam pakej rangsangan AS $1.9 trilion.
Kedua-dua penanda aras minyak mentah sebelum ini mengalami kejatuhan ketara pada akhir minggu lalu di tengah-tengah lonjakan US dolar yang menyebabkan harga minyak lebih mahal bagi pemegang matawang lain.
Bagaimanapun, setelah kehilangan 3.2% pada hari Jumaat, niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat kembali memaparkan peningkatan di atas harga $62 setong pada awal sesi Asia hari ini.
Sementara niaga hadapan minyak mentah Brent untuk bulan Mei juga meningkat 1.7% pada $65.49 setong.
Dewan Perwakilan AS meluluskan pakej bantuan coronavirus pada hari Sabtu dengan undian yang sengit. Rang undang-undang itu seterusnya akan dibawa kepada Senat untuk diundi dan diharapkan ia akan diluluskan sebelum 14 Mac, iaitu sebelum pelaksanaan pakej rangsangan sebelumnya berakhir.
Pertemuan OPEC+ pada minggu ini akan menjadi detik penting untuk menentukan masa depan pengeluaran minyak mentah seterusnya, yang mana ia dijangka akan membawa perubahan dalam komitmen pemotongan bekalan oleh negara anggota seiring dengan pemulihan harga minyak.