MIDF Research mengekalkan saranan ‘beli’ ke atas Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) dengan harga sasaran (TP) yang tidak berubah pada RM27.01 selepas kumpulan pembinaan, IJM Corporation Bhd (IJM Corp) menerima tawaran tunai RM1.53 bilion untuk keseluruhan sahamnya dalam perniagaan perladangan kelapa sawit minggu lalu.
Firma penyelidikan itu menyatakan harga tawaran RM3.10 sesaham adalah harga yang berpatutan dan niaga janji itu boleh menjuruskan kepada peningkatan pendapatan KLK.
“Risiko menurun ke atas saranan kami termasuk penurunan ketara dalam harga minyak sawit mentah (MSM), permintaan yang lebih rendah daripada jangkaan serta pelaksanaan peraturan Perintah Kawalan Pergerakan yang lebih ketat,” katanya dalam catatan hari ini.
Bernama melaporkan, minggu lalu, KLK bercadang mengambilalih keseluruhan kepentingan IJM Corp iaitu 494.87 juta saham dalam IJM Plantations (IJMP) yang mewakili 56.2% kepentingan ekuiti dengan RM3.10 sesaham pada 9 Jun lalu.
Menurut MIDF Research, selepas pengambilalihan itu, jumlah kawasan penanaman KLK akan meningkat 28.6% kepada 274,377 hektar, jauh lebih besar daripada rakan setaranya seperti IOI Corporation dan Genting Plantations.
“Melihat kepada momentum harga MSM yang kukuh, kami menjangkakan perniagaan perladangan huluan KLK akan terus menyokong pendapatan kumpulan itu.
“Namun begitu, dengan kebangkitan semula kes COVID-19 seluruh dunia serta harga isirung sawit yang lebih tinggi, kami berpendapat prestasi bahagian pembuatan akan terjejas sedikit dan prospeknya akan terus mencabar,” jelas firma berkenaan.
Bagi IJMP, MIDF Research merasakan niaga janji itu adil dan cukup menarik untuk diterima oleh pemegang saham minoriti IJMP.