US dolar kembali meraih sokongan dari pasaran saham global yang lemah, untuk meningkat semula pada sesi Asia. Namun, raja matawang itu masih didagangkan di sekitar paras terendah 10 minggu berbanding pesaing utamanya lain.
Berbanding kebanyakan matawang utama, indeks dolar diniagakan di sekitar harga 90.25.
Indeks saham Dow Jones dan NASDAQ mencecah paras tertinggi pada permulaan dagangan sesi New York, tetapi kembali susut tidak lama selepas itu dengan menghapuskan keuntungan mereka untuk ditutup lebih rendah.
Penurunan ini disebabkan oleh kebimbangan pelabur terhadap jangkaan inflasi yang meningkat lebih tinggi akan memberi tekanan buat pasaran saham.
Sementara itu, matawang utama turut merosot tetapi penyusutan yang dicatatkan tidak ketara, lebih-lebih lagi matawang komoditi untuk terus bertahan di paras tertinggi 3 bulan berbanding US dolar.
Dolar Aussie dan kiwi kekal didagangkan kukuh selepas disokong oleh peningkatan harga komoditi. Harga tembaga terus mempamerkan aksi cemerlang dengan mencapai paras tertinggi sepanjang masa pada Isnin.
Dolar Kanada turut didagangkan lebih tinggi, meskipun dagangan minyak mentah terus menunjukkan penurunan, tetapi tidak ketara.
Sementara itu, matawang pound terus menguat di tahap tertinggi lebih dua bulan berbanding US dolar selepas Perdana Menteri UK Boris Johnson mengumumkan pelonggaran dalam langkah sekatan di England mulai 17 Mei.
Matawang euro pula masih bertahan di atas paras harga 1.21000 meskipun US dolar kembali mencatatkan peningkatan.