Kesatuan Eropah (EU) terus berdepan kesukaran untuk menyekat minyak Rusia selepas ia gagal mendapat persetujuan bersama pada hari Ahad.
Bagaimanapun, para diplomat masih akan mencuba untuk mendapatkan persetujuan dengan cadangan Suruhanjaya Eropah bahawa larangan tersebut hanya terpakai kepada minyak Rusia yang dibawa masuk ke EU oleh kapal tangki.
Hal ini akan membenarkan Hungary, Slovakian dan Czechia untuk terus menerima minyak Rusia mereka melalui saluran paip Druzhba sehingga mereka menemui bekalan alternatif lain.
Hungary adalah antara negara yang menjadi punca utama kepada kegagalan cadangan EU, dengan mengatakan embargo minyak akan memberi impak besar kepada ekonominya kerana tidak boleh mendapatkan minyak dengan mudah dari tempat lain. Slovakia dan Republik Czech turut menyuarakan kebimbangan yang sama.
Rundingan mengenai sekatan minyak telah berlangsung selama sebulan tanpa melakukan kemajuan, tetapi para pemimpin berusaha untuk mendapatkan persetujuan menjelang sidang kemuncak EU bagi mengelakkan terdapat perpecahan antara blok itu dalam tindak balas mereka ke atas Rusia.
Sidang kemuncak EU akan berlangsung pada minggu ini selama dua hari, iaitu pada Isnin dan Selasa.
Sementara itu dalam laporan berasingan, Reuters mengatakan EU mungkin hanya akan mengatakan sokongannya yang berterusan kepada Ukraine, tetapi tiada keputusan mengenai sekatan ke atas Rusia dibuat.
Menurut draf mesyuarat yang dilihat Reuters, para pemimpin EU akan membincangkan cara terbaik untuk membantu Ukraine dan langkah menangani kesan perang, termasuk harga tenaga yang tinggi, krisis kekurangan makanan yang akan berlaku dan keperluan pertahanan EU.