Kemerosotan US dolar telah membantu dagangan emas untuk meningkat lebih tinggi dan berada di landasan untuk mencatat keuntungan mingguan pertama sejak pertengahan April.
Pada sesi Asia, logam kuning itu didagangkan stabil pada sekitar harga $1,837 per auns, susut sedikit dari paras tertinggi $1,849 yang dicapainya pada sesi sebelum ini.
Mata wang gergasi US dolar telah mencecah paras tertinggi 20 tahun pada minggu lalu apabila Federal Reserve (Fed) mendedahkan rancangan untuk menaikkan kadar faedahnya dengan agresif bagi memerangi inflasi yang melambung tinggi.
Bagaimanapun, terdapat persoalan di kalangan pasaran sama ada ekonomi Amerika Syarikat boleh menangani inflasi dan langkah pengetatan yang pantas dari Fed selepas Pengerusi Jerome Powell mengatakan beliau tidak berjanji akan berlaku ‘peralihan selamat’ dalam ekonomi susulan tindakan bank pusat.
Hal ini menyebabkan dagangan US dolar sedikit suram dan berundur ke paras terendah dua minggu berbanding pesaing utamanya yang lain.
Sementara itu, penanda aras hasil bon AS 10 tahun juga merosot susulan kebimbangan tersebut, sekali gus meningkatkan permintaan untuk logam berharga emas.