Pengumuman Shanghai untuk keluar daripada penutupan Covid-19 mulai 1 Jun, terus memberi sokongan kepada minyak mentah untuk didagangkan lebih tinggi.
Dengan pembukaan semula aktiviti ekonomi, pelabur menjangkakan permintaan bahan api dari China akan kembali meningkat dan menekan pasaran minyak global yang sedia terbeban ekoran kekurangan bekalan.
Pada sesi Eropah, niaga hadapan minyak mentah Brent menokok 1% dengan didagangkan kukuh pada sekitar harga $113.80 setong, manakala WTI Amerika Syarikat pula meningkat 0.8% pada $111.40 setong.
Selain itu, dagangan US dolar yang lemah turut menyokong pengukuhan harga komoditi hitam itu, yang membuatkan minyak mentah lebih murah kepada pemegang mata wang lain.
Namun begitu, keuntungan minyak mentah sedikit terbatas berikutan kebimbangan baharu dari penularan Covid-19 di Beijng yang mungkin akan mencetuskan penutupan seterusnya selepas Shanghai.
Beijing melaporkan rekod kes baharu dengan sebanyak 99 kes telah dicatatkan pada Ahad, naik daripada 61 jangkitan yang dicatatkan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden sekali lagi menggesa OPEC untuk meningkatkan pengeluaran minyak mentah dalam ucapannya di Jepun pada Isnin.