Rusia menafikan tuduhan mengenai penglibatannya dalam serangan ke atas saluran paip gas Nord Stream, dengan mengatakan Amerika Syarikat telah membuat keuntungan besar dalam membekalkan gas ke Eropah.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata dalam sidang media harian bahawa insiden itu harus disiasat dan memerlukan masa untuk membaiki kerosakan saluran paip tersebut.
Apabila disoal mengenai dakwaan Rusia mungkin dalang kepada kebocoran tersebut, Peskov menempelak dengan mengatakan tuduhan tersebut adalah ‘bodoh’.
Ujar beliau, kerosakan tersebut adalah masalah besar buat Moscow kerana kedua-dua saluran Nord Stream 2 dipenuhi dengan gas, dan kebocoran itu menyebabkan mereka menanggung kerugian.
Namun, Rusia melihat keuntungan besar pembekal gas asli cecair (LNG) AS yang meningkatkan bekalan mereka berlipat kali ganda ke benua Eropah, katanya lagi.
Memetik kepada laporan Reuters, Amerika telah merancang untuk membekalkan sekuang-kurangnya 15 bilion meter padu LNG kepada pasaran Kesatuan Eropah (EU) tahun ini ketika blok itu berusaha untuk menghentikan bekalan gas Rusia.
Ekoran itu, Peskov menegaskan mereka perlu menunggu siasatan ke atas kerosakan ini sama ada ia disebabkan letupan atau tidak.
Sebagai seorang yang mengikuti isu ini, anda fikir siapakah yang bertanggungjawab dalam kerosakan tersebut? Benarkah ia disebabkan serangan oleh sesuatu pihak?