Emas mencatat kenaikan sederhana pada sesi Asia, memperlihatkan harga kembali menembusi paras $1,800 per auns di tengah penyusutan dolar greenback.
Pelabur kini menghadkan posisi dalam pasaran kerana menantikan keterangan Jerome Powell mengenai pencalonan semulanya untuk mempengerusikan bank pusat AS di hadapan Jawatankuasa Perbankan Senat pada sesi New York malam ini.
Selain itu, pemain pasaran turut menantikan penerbitan data inflasi AS pada hari Rabu yang dijangka akan menunjukkan penurunan pada bulan Disember berbanding bacaan sebelumnya.
Kewaspadaan pelabur menyaksikan hasil bon AS dan US dolar bergerak menurun pada sesi dagangan Asia.
Ketika penulisan, logam berharga itu diniagakan sedikit meningkat pada $1,805 per auns, dengan niaga hadapan emas pula berlegar pada $1,806 per auns.
Sekiranya data inflasi yang diterbitkan menunjukkan bacaan lebih kuat, dagangan emas mungkin mendapat sokongan sementara untuk meningkat semula pada paras tertinggi yang dicapainya sebelum ini pada $1,830 per auns.
Walaupun begitu, peningkatan inflasi yang tinggi juga bermakna Federal Reserve (Fed) akan mengetatkan dasar monetarinya dengan menaikkan kadar faedah lebih awal dari dijangkakan.