Kebimbangan terhadap lonjakan inflasi global diimbangi oleh jangkaan kenaikan kadar faedah oleh bank pusat, menyebabkan pergerakan emas terus terbantut dan berlegar di sekitar harga yang sama.
Pada sesi Asia, logam berharga itu diniagakan mendatar pada $1,816 per auns manakala niaga hadapan emas pula sedikit susut pada $1,814 per auns.
Kenaikan harga terus melambung tinggi di UK sehingga mencecah paras tertinggi 40 tahun pada bulan April yang mengekalkan keyakinan pelabur bahawa Bank Pusat England (BOE) akan meneruskan pengetatan monetari untuk membendungnya.
Sementara inflasi Kanada dan Zon Eropah turut meningkat ke paras tertinggi, dengan kedua-dua bank pusat juga memberi isyarat untuk meningkatkan kadar faedah bagi mengekangnya terus bergerak lebih tinggi.
Selain itu, Pengerusi Federal Reserve (Fed), Jerome Powell menegaskan semula bahawa bank pusat itu akan meningkatkan kadar faedah setinggi yang diperlukan, termasuk membawanya di atas paras neutral untuk memerangi inflasi.
Dalam konteks ini, emas mendapat sokongan sebagai lindung nilai kepada inflasi, tetapi pada masa yang sama kenaikan kadar faedah oleh bank pusat membantutkan keuntungan logam kuning itu.