Kekuatan berterusan dolar Amerika mula dirasai oleh dunia yang menyebabkan ramai bergelut dengan peningkatan kos sara hidup berikutan kejatuhan mendadak mata wang negara.
Sedia maklum bahawa pengukuhan US dolar berpunca daripada peningkatan kadar faedah yang agresif oleh Federal Reserve (Fed).
Ini sekali gus membawa kepada kadar yang lebih tinggi pada bon kerajaan dan korporat Amerika Syarikat secara meluas dan menarik minat pelabur berikutan nilai mata wang kuat.
Sebaliknya, situasi berbeza berlaku di negara lain yang menyaksikan kejatuhan drastik dalam mata wang, terutamanya negara-negara miskin.
Walaupun begitu, negara kaya juga tidak terlepas daripada mengalami nasib yang sama akibat pengukuhan dolar.
Eropah yang kini diancam kemelesetan akibat harga tenaga yang melambung tinggi, terpaksa melihat nilai mata wangnya menjunam ke paras terendah 20 tahun dan didagangkan di bawah pariti harga $1.
Nasib yang sama juga dihadapi mata wang pound yang terjun ke tahap terlemah sepanjang masa selain turut didorong oleh kesilapan dalam pelan ekonomi Perdana Menteri UK Liz Truss.
Bagaimana dolar yang menguat menyebabkan ‘penderitaan’ kepada negara lain?
- Ia menjadikan import negara lain lain lebih mahal sekali gus menambah kepada tekanan inflasi sedia ada.
- Beri tekanan pada syarikat, pengguna dan kerajaan yang meminjam dalam dolar.
- Paksa bank pusat di negara lain untuk naikkan kadar faedah sebagai usaha menyokong mata wang mereka. Namun, kadar yang lebih tinggi lemahkan pertumbuhan ekonomi.
Kebiasaannya, negara sepatutnya mendapat manfaat daripada penyusutan nilai mata wang kerana ia akan menjadikan barangan mereka lebih murah dan kompetitif di pasaran global.
Namun, sebarang keuntungan daripada eksport yang lebih tinggi mungkin tidak dapat dirasai pada masa ini disebabkan pertumbuhan ekonomi yang terbantut di hampir kesemua negara.
Ringkasnya, pengukuhan US dolar adalah berita buruk buat ekonomi global yang mungkin bakal menyaksikannya jatuh ke dalam kemelesetan pada tahun depan.