UK berdepan cabaran besar untuk mengekalkan pemulihannya pada tahun ini selepas data terbaharu yang diterbitkan menunjukkan ekonomi negara itu berkembang dengan perlahan pada bulan Februari.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) UK berkembang sebanyak 0.1% pada Februari, turun daripada 0.8% yang dicatatkan pada bulan sebelumnya dan sedikit meleset dari jangkaan untuk pertumbuhan 0.2%.
Pertumbuhan yang dicatatkan pada Januari mencerminkan pelonggaran berterusan sekatan coronavirus, menletakkan UK di landasan untuk pengembangan sekitar 1% pada suku pertama.
Bagaimanapun, disebabkan lonjakan harga tenaga dan inflasi ke paras tertinggi 30 tahun sehingga mendorong kos sara hidup meningkat tinggi, jangkaan tersebut mungkin tidak dapat dicapai.
Reaksi awal daripada pound menunjukkan mata wang itu merosot ke bawah paras harga 1.3000 selain turut ditekan oleh dagangan dolar greenback yang lebih kukuh, menyaksikan indeks dolar sekali lagi menyentuh harga 100.00 berbanding pesaing utama lain.
Sementara itu, sektor pembuatan merosot tanpa dijangka selepas didorong oleh kekurangan bahan yang membataskan pengeluaran daripada pembuat kereta.
Ini sekali gus mencerminkan kepincangan daripada gangguan rantaian bekalan global yang terkesan oleh wabak Covid-19 dan mungkin bertambah buruk disebabkan perang Ukraine-Rusia.